KUCHING : Pelantikan Dato Sri Fadillah Yusof sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan empat lagi menteri adalah peluang terbaik untuk memajukan lagi negeri ini.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata antaranya untuk mempercepatkan tuntutan hak Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
“Kita harus gunakan peluang ini untuk membawa lebih banyak pembangunan ke Borneo iaitu Sarawak dan Sabah. Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada Dato Sri Fadillah, semoga usaha murni kita bersama diberkati.
“Pelantikan ini juga satu penghormatan bagi Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan negeri Sarawak,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak hari ini.
Fadillah mencatat sejarah sebagai Timbalan Perdana Menteri pertama dari Borneo dalam barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam kelmarin.
Oleh SHAHRUL QAIZAT