KUCHING: Sarawak berharap Menteri Dalam Negeri yang baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dapat mewujudkan semula Jawatan Kuasa Khas Kewarganegaran.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata ia perlu setelah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan ditambahbaik.
“InsyaAllah, saya akan mengetuai rombongan untuk kunjungan hormat kepada Menteri (Saifuddin) ikut tarikh kesesuaian beliau,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sebelum ini Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama kerajaan Sarawak mewujudkan Jawatankuasa Khas Kewarganegaraan bagi mempercepatkan proses pemberian kewarganegaraan khususnya kepada anak Sarawak sejak 2016 dan hasilnya 727 permohonan berjaya diluluskan dalam tempoh berkenaan.
Pemberian taraf kewarganegaraan menurut perkara 15A Perlembagaan Persekutuan adalah di bawah bidang kuasa dan hak Kerajaan Persekutuan.
Mengenai pelantikan anggota Kabinet Kerajaan Perpaduan, beliau berkata semua lima Menteri dari Sarawak memegang potfolio yang penting.
Fatimah yang juga Ketua Wanita Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyifatkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai mengota janjinya dalam pemilihan anggota kabinet.
“Bilangan Menteri, secara amnya yang dipilih adalah individu yang berkaliber,” katanya.