KUCHING: Beberapa tanaman makanan utama seperti durian, nanas, kelapa, pisang, dan sayur-sayuran bernilai tinggi dikenal pasti untuk dibangunkan secara komersial berikutan permintaan pasaran global dan domestik yang tinggi.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, dibawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Jabatan Pertanian Sarawak (DOA) diperuntukkan RM22 juta untuk meluaskan kawasan pengeluaran tanaman ini.
“Sehingga kini, 250 hektar durian, 330 hektar pisang, 40 hektar nanas dan 750 hektar kelapa telah diwujudkan.
“Untuk meningkatkan lagi kawasan pengeluaran bagi tanaman yang digalakkan ini, kementerian saya sedang giat meneruskan pembangunan taman agro.
“Taman agro ialah kawasan tanah yang intensif dan bersebelahan,
dibangun dan dibahagikan kepada plot untuk pengeluaran pertanian kekal.
“Taman ini akan dilengkapi dengan infrastruktur asas dan
utiliti untuk digunakan oleh syarikat utama, kumpulan petani dan agro- usahawan yang mengintegrasikan semua aspek rantaian nilai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Beliau berkata, sehingga kini, tiga projek taman agro iaitu Sungai Baji dan Parit Bugis di Bahagian Sarikei dan Asajaya di Bahagian Samarahan sedang dibangunkan di bawah pelbagai peringkat pelaksanaan.
“Pada 2023, peruntukan sebanyak RM14.8 juta akan disediakan untuk menyiapkan kemudahan pertanian di Taman Agro Sungai Baji dan untuk kerja-kerja awal di Parit Bugis dan Taman Agro Asajaya.
“ Kementerian saya juga telah diperuntukkan sejumlah RM3.3 juta pada 2023 untuk membangunkan tiga kawasan baharu iaitu, Bebuling dan Lubok Tamang di Bahagian Betong dan Simanggang di Bahagian Sri Aman.
“Selain itu, kementerian saya juga telah mengenal pasti empat kawasan berpotensi iaitu Lubok Ipoi, Lubok Trenggas dan Gedong-Semalatong di Bahagian Samarahan dan di Mulu, Bahagian Miri,” katanya.
Sementara itu, pembangunan infrastruktur pertanian di wilayah Bakul Makanan yang meliputi Bahagian Betong, Sarikei dan Mukah sedang dilaksanakan dalam pelbagai peringkat oleh JPS Sarawak.
“Sehingga Oktober tahun ini, daripada 12 projek yang telah dilaksanakan, tiga sudah siap manakala tiga lagi dalam peringkat pembinaan dan enam masih dalam peringkat reka bentuk,” katanya.
Di samping itu, bagi menambah kawasan pengeluaran agromakanan, sejumlah RM30 juta juga telah diluluskan untuk Cadangan Pembangunan Infrastruktur Saliran dan Pengairan di Sungai Ilas/Sebena (Blok A3) Bahagian Sarikei.
Peruntukan awal sebanyak RM800,000.00 akan dikeluarkan pada 2023.
Oleh NUR AIN OTSMAN