KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti menyasarkan 100 peratus guru SeDidik memiliki sekurang-kurangnya Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak menjelang 2025.
Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata sasaran itu ditetapkan melalui kerjasama dengan Universiti Terbuka Malaysia, Pusat Perkembangan Kemahiran Sarawak (PPKS), Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Kolej SIDMA Sarawak.
“Setakat 30 November 2022, jumlah pendidik adalah seramai 157 orang di mana 11 orang mempunyai Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak atau bersamaan tujuh peratus dan 96 orang atau 61.14 peratus memiliki Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak.
“Sementara itu, 40 orang atau bersamaan 25.48 peratus akan tamat pengajian pada penghujung tahun ini.
“Dengan itu pada akhir 2022, 93.63 peratus guru SeDidik mempunyai sekurang-kurangnya Diploma dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak, dan selebihnya seramai 10 orang termasuk lima orang pendidik Penan di kawasan Apoh-Tutoh sedang mengikuti pengajian dan dijangka tamat pada 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
SeDidik Sdn Bhd adalah milik Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak (SEDC) sebagai entiti untuk sistem pendidikan awal kanak-kanak.
Fatimah berkata, dari aspek kurikulum pula, selain menggunakan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) dan Kurikulum PERMATA Negara, SeDidik juga melaksanakan Program Tambah Nilai dan Program Niche sebagai pendekatan yang holistik.
“Tambahan kepada program sedia ada, pada tahun 2022, Kementerian telah memperkenalkan Program Pendidikan Inklusif, Program Bahasa Isyarat (Bahasa Isyarat Malaysia BIM), Kinder Environment dan Thiflun Madaniyy.
“Selaras dengan kepesatan teknologi, SeDidik telah berkerjasama dengan Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, Persatuan Kebajikan Rolf Schnyder dan The Dariu Foundation dalam program Bits and Bites yang merupakan literasi komputer dan asas koding untuk kanak-kanak berusia lima dan enam tahun di pusat-pusat SeDidik,” katanya.
Oleh RYNNA SHA’ERRA