KUCHING: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak menyasarkan kemasukan seramai tiga juta pengunjung ke Sarawak tahun depan.
Menterinya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sasaran kemasukan pengunjung ini dijangka menjanakan perolehan pelancongan sebanyak RM7.25 bilion.
“Sasaran ini ditetapkan berdasarkan trend prestasi pelancongan sejak beberapa bulan yang lalu.
“Dari Januari hingga Oktober tahun ini, bilangan pengunjung ke Sarawak telah meningkat sebanyak 1,118.41 peratus kepada 1,378,017 orang berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.
“Kami yakin bahawa negeri ini akan menerima anggaran pengunjung sekitar 1.8 juta menjelang penghujung tahun ini. Perkara ini melebihi sasaran awal iaitu 1.2 juta penghujung,” katanya menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Abdul Karim berkata, jumlah kemasukan pelancong ke Malaysia telah meningkat kepada 3.21 juta orang dari Januari hingga Julai tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Ini telah menjana perolehan pelancongan sebanyak RM9.35 bilion,” katanya.
Beliau berkata, selepas kemerosotan yang tidak pernah berlaku sebelum ini pada 2020 dan 2021, pelancongan antarabangsa dijangka meneruskan pemulihannya secara beransur-ansur pada tahun ini.
“Ini setelah semakin banyak destinasi melonggarkan atau menarik balik sekatan perjalanan dan keyakinan untuk melancong pulang,” katanya.
Menurut Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO), pelancongan antarabangsa dijangka meneruskan pemulihannya secara beransur-ansur dan memulihkan 65 peratus kembali kepada pra-tahap pandemik pada 2022 dan 85 peratus pada 2023 walaupun menghadapi cabaran ekonomi dan geopolitik yang semakin ketara.
Oleh NUR AIN OTSMAN