LIMBANG: Pesta Kebudayaan Tiong Hua Limbang telah dimasukkan dalam Kalendar Tahunan Jawatankuasa Perayaan Utama Bagi Daerah Limbang untuk 2022.
Yang sudah dimasukkan dalam kalendar itu sebelum ini ialah Pesta Babulang dan Lumba Kerbau oleh kaum Bisaya, Pesta Nuba Laya bagi kaum Lun Bawang dan Pesta Medamit dan Gawai Dayak bagi kaum Iban.
Acara kebudayaan lain ialah Makan Tahun Perdana oleh kaum Kedayan, Pesta Bedudun dan Lumba Kerbau bagi kaum Melayu selain Festival Muzik Wilayah Utara yang menghimpunkan pelbagai etnik dan kebudayaan.
Residen Bahagian Limbang Sebi Abang berkata pesta Kebudayaan Tiong Hua berjaya mempromosikan keharmonian masyarakat Cina khususnya di Bahagian Limbang.
“Pesta Kebudayaan Tiong Hua Limbang adalah acara kebudayaan masyarakat khususnya bagi masyarakat Tiong Hua yang terdiri daripada pelbagai suku etnik Cina.
“Pada tahun ini Jawatankuasa Perayaan Utama Daerah Limbang memutuskan untuk melaksanakan acara yang memfokuskan kepada kebudayaan etnik yang ada di daerah Limbang termasuk penganjuran Pesta Kebudayaan Tiong Hua Limbang ,” katanya ketika merasmi Pesta Kebudayaan Tiong Hua Limbang di sini malam tadi.
Turut sama ialah wakil Pegawai Daerah Limbang, Hamidah Halpi dan wakil pengerusi pengelola program Lily Chong.
Sebi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perayaan Utama Bahagian Limbang berkata antara acara berteraskan kebudayaan yang dilaksanakan di daerah Limbang pada tahun ini.
Beliau berkata, penganjuran acara yang memfokuskan kepada kebudayaan ini adalah salah satu usaha untuk mengetengahkan pelbagai budaya kepada penduduk setempat di samping memperkasakan perpaduan yang sudah lama sedia wujud di negeri ini.
Dalam pada itu katanya Jawatankuasa Petugas Pelancongan Bahagian Limbang berjaya menerima peruntukan berjumlah RM602,700 dari Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak serta Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia untuk menganjurkan pelbagai program di utara Sarawak.
“Daripada jumlah itu, RM190,000 diperuntukkan kepada dua persatuan di Daerah Lawas.
“Bagi Daerah Limbang, sejumlah RM412,700 diperuntukkan kepada lima persatuan di daerah ini termasuk peruntukan bagi menganjurkan Pesta Kebudayaan Tiong Hua Limbang,” katanya.
Oleh ADENG EDRUS