KUCHING: Syarikat tempatan diminta supaya mengambil pelajar untuk bekerja sambil berlatih (student intenship) terutama dalam tiga iaitu pembinaan, perkhidmatan dan keselamatan makanan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata mereka boleh mengambil pelajar dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Kolej Universiti i-CATS untuk bekerja sambil berlatih.
“Seperti di Swinburne (Universiti Swinburne Kampus Sarawak), mereka mempunyai pelajar cemerlang dalam bidang teknologi maklumat mahupun kejuruteraan, ambil mereka.
“Ini cadangan saya, kalau boleh pertimbangkan. Kita ada syarikat, kita ambil mereka dan latih pelajar untuk bekerja dengan syarikat sedia ada,” katanya.
Beliau berucap pada majlis makan malam amal Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Cawangan Kuching di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini malam ini.
Abang Johari juga mengumumkan peruntukan RM100,000 untuk DUBS cawangan Kuching untuk membeli jentera bagi kegunaan dalam sektor pembinaan.
“Ini bertujuan untuk menyediakan kemudahan khususnya kepada ahli DUBS cawangan Kuching melaksanakan sesuatu projek.
“DUBS cawangan Kuching boleh menyewakan jentera ini kepada ahli. Dengan kemudahan seperti ini akan mempercepatkan lagi projek tanpa menangguhkannya disebabkan tiada jentera.
“Sebagai contoh tiada jentera cerucuk, jadi kita beli dan dengan ada jentera disediakan, maka ia akan lebih memudahkan lagi,” katanya
Abang Johari yakin dengan peruntukkan yang diberi oleh kerajaan negeri kepada DUBS, mereka dapat melaksanakan dengan baik seperti mana Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Sarawak lakukan.
“Dengan ini, tiada lagi isu projek sakit. Sekiranya tidak cukup peruntukkan sedia ada, kita akan tambah lagi,” katanya.
Oleh Azreen Keria