SRI AMAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut selepas kereta dinaiki empat sekeluarga terbabit kemalangan di Munggu Tapang, Bukit Begunan di sini, petang semalam.
Dalam kejadian itu, kanak-kanak terbabit menaiki kereta yang dipandu bapanya bersama ibu dan seorang lagi adiknya berusia enam tahun.
Menurut Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 5.15 petang.
Katanya, seramai tujuh anggota bomba Sri Aman diketuai PBK II Tony Morni bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan daripada Mers 999 Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak.
“Setiba di lokasi kejadian, komander operasi memaklumkan kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Alza yang terbabas akibat hilang kawalan.
“Terdapat empat mangsa yang terlibat dalam kemalangan tersebut, kesemua mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba sampai lokasi kejadian.
“Pemandu kenderaan mengalami cedera ringan manakala seorang mangsa yang berumur 9 tahun tidak sedarkan diri dan disahkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meninggal dunia,” katanya.
Katanya, kanak-kanak terbabit dikatakan menaiki kereta yang dipandu bapanya bersama ibu dan seorang lagi adiknya berusia enam tahun.
“Ibu mangsa dan seorang lagi anak mangsa yang berumur enam tahun yang selamat telah dibawa oleh pihak KKM ke Klinik Pantu untuk rawatan susulan,” katanya.
Oleh ADI SAFARMAN