KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti telah melaksanakan program, dialog dan wacana bagi meningkatkan kesedaran penduduk mengenai perkahwinan teratur dengan warga asing supaya status kewarganegaraan anak yang dilahirkan terjamin.
Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, tiga siri program, dialog dan wacana yang telah dilaksanakan itu berkaitan isu pengenalan diri dan kewarganegaraan bersama komuniti di Serian, Lundu dan Lubok Antu.
“Pada tahun ini, dialog yang serupa dan randau dilaksanakan di Padawan, Debak dan Baram.
“Kementerian juga telah menganjur pelbagai program kesedaran dan advokasi tentang isu dokumen pengenalan diri di Sarawak. Sejak 2017, sebanyak 71 siri program dilaksanakan dalam kalangan komuniti rentan, khususnya di kawasan yang bersempadanan dengan negara jiran,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan ADUN Machan, Allan Siden Gramong dalam sesi pertanyaan bagi jawapan lisan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Katanya, kerajaan Sarawak sudah mendapat kelulusan Jawatankuasa Kerja Keselamatan Sabah Sarawak yang dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri pada 12 Oktober 2021 untuk menubuhkan Pasukan Petugas Khas (PPK) bagi menangani isu penduduk Sarawak yang tidak mempunyai taraf kewarganegaraan.
“Susulan itu, kerajaan Sarawak dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara telah menubuhkan PPK pada 11 April 2022. Melalui semua Pejabat Daerah di Sarawak, PPK sedang mengumpul data dan maklumat terperinci untuk mengenal pasti penduduk Sarawak yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sebelum turun padang untuk operasi pendaftaran,” katanya.
Kerajaan Sarawak katanya, amat prihatin dengan sebarang permasalahan dihadapi penduduk negeri ini yang tiada dokumen pengenalan diri terutama dari segi akses untuk mendapatkan kemudahan pendidikan, perubatan dan kebajikan.
Oleh NUR AIN OTSMAN