KUCHING: Sebanyak 68 unit rumah di bawah Program Khas Perumahan Nelayan di Pusat Pertumbuhan Luar Bandar (RGC) Beladin telah siap dibina setakat kini.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Michael Tiang Ming Tee berkata, Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) telah dikeluarkan pada 6 Oktober 2020.
“Peruntukan untuk unit-unit yang telah siap pula adalah tertakluk kepada senarai pemohon yang diluluskan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM),” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan ADUN Beting Maro, Razaili Gapor dalam sesi pertanyaan bagi jawapan lisan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Sementara itu katanya, fasa pertama pembangunan semula Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Pusa yang melibatkan 30 unit Rumah SPEKTRA Permata (RSP) sedang dalam proses penyediaan pelan sub bahagian baharu untuk kelulusan Jabatan Tanah dan Survei Sarawak.
“Kos pembinaan bagi 30 unit RSP Pusa itu dianggarkan melibatkan peruntukan sejumlah RM10 juta dengan harga jualan untuk setiap unit RSP adalah dari RM90,000 hingga RM165,000 bergantung kepada saiz tanah dan juga saiz binaan,” katanya.
Beliau juga berkata kementeriannya tidak mempunyai sebarang rancangan untuk menaik taraf infrastruktur sedia ada di SPK Semarang/Spinang Fasa 1 yang dianggarkan menelan belanja RM19.5 juta.
Oleh NUR AIN OTSMAN