KUCHING: Bajet Sarawak 2023 adalah belanjawan yang terbesar dan memberi fokus kepada rakyat.
Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata ini adalah belanjawan terbesar dan ia benar-benar mengutamakan rakyat dan 70 peratus tertumpu kepada pembangunan, 60 peratus kepada pembangunan di kawasan luar bandar.
“Bajet itu akan memberi tumpuan kepada pemilikan rumah, pembangunan infrastruktur, air, elektrik dan jalan raya selain pembangunan digital serta bakat.
“Kerajaan Sarawak sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah menekankan kejuruteraan semula hasil dan beberapa perkara lain seperti dasar dividen, perdagangan karbon dan bahagian wang Kerajaan Persekutuan,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hari pertama sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.
Dr Sim berkata belanjawan itu adalah menyeluruh dan akan memberi manfaat kepada semua orang.
“Semua orang akan mendapat manfaat daripada bajet ini, dan saya ingin meminta golongan muda melihat aspek ini.
“Terdapat begitu banyak subsidi, geran dan pembangunan bakat tersedia,” katanya.
Terdahulu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Opemng membentangkan belanjawan negeri 2023 berjumlah RM10.797 bilion.
Oleh Azreen Keria