KUCHING: Kerajaan Sarawak percaya ekonomi digital yang digarap boleh bertindak sebagai pemacu baharu pertumbuhan ekonomi, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak berkata, pelancaran inisiatif Ekonomi Digital Negeri telah meningkatkan transformasi digital negeri dalam sektor ekonomi utama termasuk pertanian, pembuatan, pelancongan, e-dagang, perkhidmatan dan kerajaan digital.
“Pada 2023 nanti, kira-kira RM48 juta akan disediakan di bawah Pembiayaan Alternatif untuk Projek Bandar Pintar di Kuching dan Miri.
“Kesemua ini akan merangkumi pemasangan kamera keselamatan di lokasi strategik, pemasangan lampu isyarat pintar, menaik taraf sistem pengangkutan, dan mempromosikan konsep bangunan hijau (GBI).
“Pusat Operasi Bersepadu Sarawak (SIOC), bandar pintar itu turut dilaksanakan sebagai pusat pemantauan dan kawalan berpusat,” katanya ketika membentang usul Belanjawan Sarawak 2023 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Selain itu, katanya, penggunaan ‘Internet of Things’ (IoT) dijangka akan meningkatkan produktiviti dan hasil, meningkatkan kecekapan, mengurangkan kos dan pergantungan kepada buruh manual terutamanya dalam sektor pertanian dan pembuatan.
Dalam pada itu, Perkhidmatan Kerajaan Negeri Digital akan memperuntukkan RM25 juta pada 2023 untuk pelaksanaan pelbagai projek digital.
“Semua ini adalah termasuk Sistem Pengurusan Perkhidmatan Bersepadu, Projek Pembangunan dan Peningkatan ICT untuk Tanah dan Ukur, Pendigitalan Bekalan Air iaitu Sistem Bil Air Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB) dan Sistem e-Perolehan Negeri,” katanya.
Oleh itu, kata Abang Johari, kerajaan negeri akan melaksanakan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030 baharu untuk melonjakkan ekonomi digital.
“Rangka Tindakan ini akan meningkatkan lagi penyampaian perkhidmatan awam kami, mewujudkan peluang perniagaan baharu, menyediakan akses kepada pasaran global, menjana pekerjaan, dan meningkatkan kesejahteraan sosial,” katanya.
Sepanjang lima tahun kebelakangan ini, kata beliau, Sarawak telah menghasilkan beberapa hasil yang berjaya dalam transformasi digitalnya, antaranya adalah SPayGlobal, yang menjadi platform utama untuk perniagaan, kerajaan negeri dan urus niaga sektor swasta.
Menara telekomunikasi SMART300 yang menyediakan sambungan internet berkelajuan tinggi di luar bandar Sarawak, turut dilaksanakan.
Malah Perkampungan Digital dan sebelas Hab Inovasi di seluruh negeri memberi manfaat kepada 108 syarikat permulaan tempatan.
Oleh NICKELYSON LAKUN