KUCHING: Kerajaan negeri memperuntukan sejumlah RM10.797 bilion dibawah Perbelanjaan Biasa dalam belanjawan untuk 2023, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Katanya, daripada jumlah itu, RM3.997 bilion adalah untuk perbelanjaan mengurus manakala sejumlah RM6.8 bilion untuk peruntukan akaun kumpulan wang pembangunan bagi membiayai pelaksanaan pelbagai program dan projek pembangunan.
“Perbelanjaan mengurus yang dianggarkan sebanyak RM3.997 bilion pada 2023 terdiri daripada RM938 juta atau 24 peratus untuk emolumen kakitangan; RM1.508 bilion atau 38 peratus untuk bekalan dan perkhidmatan;RM1.343 bilion atau 34 peratus untuk geran dan bayaran tetap.
“Ini termasuk geran operasi kepada badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan, membayar hutang awam dan pembayaran ganjaran, pencen, biasiswa, termasuk bantuan kewangan dan kebajikan; RM90 juta untuk perolehan aset dan RM118 juta untuk perbelanjaan mengurus lain,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam pembentangan usul Belanjawan Sarawak 2023 pada hari pertama Mesyuarat Ketiga Bagi Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 hari ini.
Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu berkata, dengan unjuran hasil sebanyak RM11.035 bilion dan jumlah perbelanjaan biasa RM10.797 bilion, Belanjawan Sarawak 2023 dijangka menjana lebihan sebanyak RM238 juta.
“Ia akan terus menjadi belanjawan pengembangan yang melabur banyak dalam infrastruktur dan meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai terasnya,” katanya.
Belanjawan Sarawak 2023 akan terus menjadi bajet berorientasikan pembangunan dan berfokuskan luar bandar.
“Sejumlah RM7.506 bilion dicadangkan di bawah anggaran perbelanjaan pembangunan untuk 2023 di mana RM4.540 bilion atau 60 peratus adalah untuk pembangunan di kawasan luar bandar.
“Anggaran ini mengambil kira antara lain iaitu komitmen kerajaan negeri untuk menyelesaikan pelaksanaan pelbagai projek yang sedang dijalankan; keupayaan untuk melaksanakan projek sepanjang tahun dan keutamaan untuk melaksanakan projek pemangkin, berimpak tinggi dan mengutamakan rakyat,” katanya.
Dalam hal ini, kerajaan Sarawak akan memperkenalkan Rangka Kerja Pengurusan Nilai dalam proses merancang, menilai dan melaksanakan projek dengan ambang tertentu.
Di bawah rangka kerja ini, pelbagai pihak berkepentingan utama hendaklah terlibat dalam memperoleh dan mencapai keputusan tentang keseimbangan optimum faedah projek berbanding kos dan risiko projek.
Oleh NUR AIN OTSMAN