KUCHING: Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berhasrat untuk memperkasakan peranan wanita di luar bandar terutama bagi kawasan Batang Sadong.
Katanya, setelah memenangi kerusi itu semalam, beliau berazam mahu meneruskan rancangan pembangunan.
“Saya akan meneruskan pembangunan seperti yang dirancang tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di bawah Parlimen ini. Itu agenda saya.
“Malah, saya juga berhasrat untuk memperkasakan peranan wanita di luar bandar terutama bagi kawasan Batang Sadong,” katanya ketika ditemui selepas sidang media Gabungan Parti Sarawak (GPS) sempena PRU15 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), malam tadi.
Rodiyah menang dengan majoriti 14,893 undi menewaskan Setiausaha Kerja Parti Amanah Negara (AMANAH) Sarawak, Lahaji Lahiya mewakili gabungan Pakatan Harapan (PH).
Lahaji, seorang pesara guru mendapat 3,775 undi.
Rodiyah, 44, sebelum ini bertugas sebagai Pengurus, Pengurusan Risiko di Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah Sarawak (LCDA) sejak 2004, mengantikan tempat Dato Sri Nancy Shukri yang berpindah ke Parlimen Santubong.