SIMANGGANG: Calon muda Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli menzahirkan penghargaan kepada pengundi kerana memilihnya sebagai wakil rakyat di kawasan itu.
Shafizan, 37, yang pertama kali bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) menang dengan majoriti 14,463.
Beliau memperoleh 19,627 undi menewaskan lawannya dari Pakatan Harapan (PH) Wel @ Maxwell Rojis (2,768 undi) dan Perikatan Nasional (PN) Hamdan Sani (5,164 undi).
“Saya menerima kemenangan ini dengan rendah hati dan penuh kesedaran bahawa amanah dan tanggungjawab yang diletakkan di bahu saya dan pasukan kami di Parlimen Batang Lupar sangat besar.
“Insya-Allah, kami akan ambil langkah dan tindakan yang selari dengan harapan serta aspirasi penduduk di kawasan ini,” katanya.
Menurutnya, beliau komited meneruskan legasi, perjuangan dan pengorbanan bekas Ahli Parlimen Batang Lupar selama enam penggal, Dato Sri Rohani Abdul Karim demi pembangunan di situ.
“Malah, Dato Sri Rohani banyak membantu kemenangan saya di sini. Tidak ketinggalan juga kepada ketiga-tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Datuk Julaihi Narawi, ADUN Beting Maro, Julaihi Gapor dan ADUN Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor.
“Dalam pada itu, saya juga ingin merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada pengundi yang sanggup mengorbankan masa dan tenaga malah wang ringgit bagi memastikan anda semua dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
“Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak khususnya seluruh jentera parti serta pasukan kami yang telah berpenat lelah dan banyak berkorban untuk sekian lama, lebih-lebih lagi dalam tempoh 14 hari berkempen, demi memastikan kemenangan GPS di sini,” katanya.