KUCHING: Semua lima calon wanita yang dipertaruhkan oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kali ini menang bergaya, malah majoriti naik bagi penyandang.
Ini termasuk muka baharu Rodiyah Sapiee yang menang dengan majoriti 14,893 undi menewaskan Setiausaha Kerja Parti Amanah Negara (AMANAH) Sarawak, Lahaji Lahiya mewakili gabungan Pakatan Harapan (PH).
Lahaji, seorang pesara guru mendapat 3,775 undi.
Rodiyah, 44, sebelum ini bertugas sebagai Pengurus, Pengurusan Risiko di Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah Sarawak (LCDA) sejak 2004, mengantikan tempat Dato Sri Nancy Shukri yang berpindah ke Parlimen Santubong.
Nancy pula menang besar di kerusi baharunya itu apabila menewaskan dua calon lain dengan majoriti 38,681 undi, menewaskan calon Parti Amanah Negara (AMANAH) mewakili Pakatan Harapan (PH), Mohamad Zen Peli yang mendapat 5,058 undi dan calon Bebas, Affendi Jeman, 3, 012 undi.
Nancy memperoleh 43,739 undi.
Namun, calon muka baharu GPS bagi kerusi Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodi mencipta sejarah tersendiri apabila mengagalkan usaha calon Bebas, Datuk Masir Kujat bagi mempertahankan kerusi itu untuk penggal keempat.
Ketua Wanita Parti Rakyat Sarawak (PRS) itu, adalah Ahli Parlimen berketurunan Dayak yang pertama di Dewan Rakyat. Sebelum ini beliau mencatat sejarah sebagai wanita pertama di Malaysia menyandang jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara.
Doris yang memperoleh 14,131 undi menang dengan majoiriti 4,039 undi menewaskan Masir yang cuma mendapat 5,673 undi, manala dua calon lain Wilson anak Entabang dari Parti Sarawak Bersatu (PSB) mendapat 10,092 undi dan 2,021 undi untuk Tay Wei Wei, daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) mewakili PH.
Seorang lagi calon wanita ialah Datuk Rubiah Wang yang menyaksikan pertambahan majoriti iaitu 29,445 undi di Parlimen Kota Samarahan berbanding majoriti 16,992 pada PRU-14 2018.
Rubiah memperoleh 42,278 undi menewaskan Pengerusi AMANAH Sarawak, Abang Abdul Halil Abang Naili, seorang pesara, hang mendapat hanya 12,833 undi.
Seorang lagi ialah Dato Hanifah Hajar Taib yang berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Mukah bagi penggal kedua setelah menewaskan calon PKR-PH, Abdul Jalil Bujang, yang pernah ditewaskannya pada 2018.
Hanifah memperoleh 21,733 undi, menang majoriti 15,686 undi, manakala Abdul Jalil cuma meraih 6,047 undi.
Bagaimanapun, seorang calon wanita pembangkang turut menang iaitu Alice Lau Kiong Yieng (DAP) di Parlimen Lanang dengan meraih 30,120 undi, iaitu majoriti 11,544 undi mengalahkan tiga calon lain.