KUCHING: Parlimen Kota Samarahan kekal milik Datuk Rubiah Wang setelah memenangi kerusi itu dengan majoriti 29,445 undi.
Calon Gabungan Parti Sarawak(GPS) itu menyifatkan pencapaiannya kali ini lebih baik dengan memperoleh 42,000 undi.
“Ini merupakan jumlah yang sangat baik, menunjukkan sokongan rakyat Samarahan terhadap GPS.
“Tambahan pula apa yang kita peroleh daripada keputusan ini kerana belia cenderung kepada GPS.
“Ini merupakan satu petunjuk yang amat baik untuk meneruskan matlamat kita bagi membangunkan Kota Samarahan sekali gus menguatkan kedudukan GPS di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika Majlis Penantian Keputusan Pilihan Raya Umum(PRU) ke-15 sejurus selepas pengumuman kemenangannya.
Rubiah mengalahkan calon Pakatan Harapan(PH) Abang Halil Abang Naili yang meraih 12, 833 undi, bersamaan dengan 23.29 peratus daripada jumlah keseluruhan undi.
Pada PRU ke -14 yang lalu, Rubiah berdepan calon PH, Sopian Julaihi yang mendapat 8,078 undi manakala calon Pas, Zulkipli Ramzi yang hanya meraih 2,719 undi.
Rubiah memperoleh kemenangan mudah dengan undi majoriti 16,992 ketika itu.
Oleh SHAHRUL QAIZAT