KUCHING: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Parlimen Santubong, Dato’ Sri Nancy Shukri menang bergaya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan majoriti 38, 681 undi.
Beliau memperoleh 43,739 undi, menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Mohamad Zen Peli yang mendapat 5,058 undi dan
calon Bebas, Affendi Jeman, 3, 012 undi.
Sejumlah 66.33 peratus pemilih turun menjalankan tanggungjawab masing-masing di 150 saluran mengundi dan sebanyak 650 kertas undi ditolak.
Keputusan rasmi tersebut diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Sofhi Jebal pada pukul 11.30 malam di Dewan Sri Merpati Institut Kemahiran Mara (IKM) Kuching.
Nancy ketika ditemui pemberita selepas pengumuman keputusan memberitahu, dirinya akan terus memperjuangkan pembangunan di Parlimen Santubong.
“Mana-mana wakil rakyat kita akan melakukan tugas untuk memastikan pembangunan berterusan. Kalau ada keperluan dibuat dari segi infrastruktur, maka kita akan teruskan dari segi pembangunan seperti mana yang telah dibuat oleh menteri terdahulu.
“Kalau boleh saya bawa lebih banyak lagi untuk menarik pelancong. Sama ada kita jadi menteri atau tidak, tarikan itu ada di kawasan kita agar orang tertarik di kawasan ini sekali gus untuk pembangunan ekonomi penduduk tempatan,” katanya.
Parlimen Santubong menyaksikan jumlah pengundi pada kali ini seramai 79,540 orang.
Oleh NUR AIN OTSMAN