PADAWAN: Menjelang hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) esok, jentera Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen Puncak Borneo bersedia membantu pengundi melancarkan pergerakan mereka sekiranya berlaku bencana alam seperti banjir dan hujan teruk.
Calon GPS Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin berkata pusat khidmatnya telah merancang pelan kecemasan dengan bantuan tenaga jentera dari tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tarat, Mambong, dan Serembu, bersama agensi penguat kuasa yang lain.
“Di peringkat pusat khidmat, kita telah menyediakan bot yang akan dibantu oleh pasukan Angkatan Pertahanan Awam (APM)
“Sekiranya berlaku banjir dan hujan lebat, jentera kita akan pergi ke tempat tersebut untuk menyelesaikan masalah dan membawa pengundi keluar mengundi,” katanya ketika ditemui pemberita di majlis Jelajah Belia Mambong di Kampung Sungai Duuh, hari ini.
Beliau menyarankan agar pengundi turun mengundi pada awal pagi berikutan kawasan Puncak Borneo dijangka akan mengalami cuaca hujan pada sebelah petang.
Dalam perkembangan sama, beliau mengakui momentum GPS masih di tahap tinggi di kawasan Puncak Borneo setakat ini hasil kerja keras gerak kerja komponen dan jentera ketiga-tiga ADUN.
Oleh Mohd Neenatul Aizal