KUCHING: Punca sebenar insiden kebakaran melibatkan Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak (SSGP) di Long Ugui, Lawas petang semalam masih dalam siasatan.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dalam satu kenyataan menyatakan pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan yang berkaitan dalam membantu siasatan insiden itu dengan secara menyeluruh.
JKR juga mengarahkan pihak kontraktor untuk segera memberhentikan kesemua kerja-kerja pembersihan tapak dan kerja-kerja tanah sementara siasatan dilakukan.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak petang semalam, seorang maut dan dua lagi cedera dalam letupan di situ.
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Hadi Wiyono yang meninggal dunia ketika berada dalam jengkaut, manakala dua yang cedera ialah Hendrick dan Gabriel Meripa, yang melecur di beberapa bahagian badan.
Mereka adalah pekerja syarikat kontraktor projek Jajaran Jalan Perhubungan Sabah Sarawak (SSLR).
Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dalam kenyataan malam tadi mengesahkan insiden kebakaran di SSGP ‘berhampiran KP 132’ berdekatan Lawas.
Petronas berkata, kejadian itu dipercayai membabitkan kontraktor pihak ketiga yang melakukan kerja ‘tidak berkaitan dengan operasi SSGP berhampiran kawasan izin lalu (ROW) saluran paip’.
“Laporan polis sudah dibuat berhubung kejadian ini dan siasatan menyeluruh akan dilaksanakan,” katanya
Oleh NUR AIN OTSMAN