LAWAS: Seorang pekerja syarikat kontraktor projek Jajaran Jalan Perhubungan Sabah Sarawak(SSLR) terbunuh manakala dua rakan cedera dalam letupan saluran paip gas.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, pihak Bomba menerima panggilan jam 2.49 petang ini berhubung insiden letupan Saluran Gas Sabah Sarawak(SSGP) di Long Ugui Lawas.
Maklumat awal melibatkan seorang mangsa maut dan dua mangsa cedera.
Pasukan Bomba Lawas diketuai komander operasi mendapati berlakunya kebakaran melibatkan paip gas milik SSGP.
Keluasan kebakaran dan letupan dianggarkan pada jarak lingkungan 400 meter dan kebakaran melibatkan beberapa jentera berat termasuk sebuah lori musnah sebahagian dan ada yang mengalami kebakaran seratus peratus.
Pasukan bomba mengalami kesukaran ke lokasi kerana jalan ke lokasi tidak dapat dilalui oleh jentera.
Perjalanan ke lokasi hanya menggunakan kenderaan Nissan Navara serta membawa peralatan operasi bergerak ke lokasi kejadian.
Kerja-kerja pemadaman menggunakan dua unit alat pemadam api untuk pemadaman kebakaran kerana tiada sumber air terbuka di lokasi.
Kebakaran tersebut melibatkan tiga mangsa termasuk seorang disahkan meninggal semasa berada dalam jentera jengkaut.
Dua lagi mangsa cedera melecur di beberapa anggota badan.
Punca kebakaran masih dalam siasatan dan semua mangsa adalah lelaki dewasa.