SIBU: Ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) harus memiliki integriti, jujur dan tegas dalam melaksanakan tanggungjawab mereka mengendalikan kes Mahkamah Bumiputera Sarawak.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk John Sikie Tayai berkata ini kerana mereka adalah tulang belakang kerajaan dalam usaha memastikan agenda pembangunan sampai kepada rakyat di peringkat akar umbi.
“Pada program kali ini, kita menumpukan mengenai tanggungjawab dan peranan KMKK dalam melaksanakan tanggungjawab perundangan yang diamanahkan oleh kerajaan Sarawak.
“Program dua hari ini diadakan khas untuk KMKK yang baru dilantik, dengan tujuan memberi pendedahan dan tatacara mengendalikan kes mahkamah yang betul mengikut kaedah atau peraturan yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Pengendalian Kes Mahkamah Bumiputera Sarawak untuk KMKK Bagi Daerah Pakan dan Julau, hari ini.
Sikie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus berkata KMKK wajar diamanahkan untuk menjalankan peranan mahkamah ini dan diberi pendedahan, kemahiran serta segala pengetahuan yang diperlukan secara berterusan.
“Mereka akan didedahkan melalui taklimat oleh penceramah Mahkamah Bumiputera sendiri mengenai cara betul, teratur dan berasaskan ordinan yang memberi kuasa kepada seseorang tuai rumah atau ketua masyarakat mengendalikan kes mahkamah di peringkat masing-masing.
“Oleh itu, penganjuran program seumpama ini adalah tepat pada masanya,” katanya.
Seramai 180 peserta terdiri daripada KMKK bagi daerah Pakan dan Julau, Bahagian Sarikei mengikuti seminar yang berlangsung selama dua hari.
Turut hadir ialah Ketua Pendaftar Mahkamah Bumiputera Sarawak, Datu Michael Dawi Alli dan Temenggung Datuk Janggu Banyang.
Oleh AKUN GIMAN