KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd (STMK) meningkat kepada RM101.59 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac, 2020 daripada RM96.44 juta pada setahun lepas.
Perolehan bagaimanapun susut kepada RM913.04 juta daripada RM918.16 juta bagi tempoh yang sama susulan terutama jualan rendah daripada perniagaan takaful keluarga, menurutnya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia semalam.
STMK berkata, ia mencatatkan keuntungan sebelum zakat dan cukai yang lebih tinggi iaitu RM114.2 juta pada suku pertama berbanding RM113.3 juta pada tempoh sama 2019, didorong simpanan perbelanjaan yang rendah, seiring dengan pengeluaran rendah produk perubatan syarikat.
Mengenai unjuran prestasi, STMK berkata, ia akan meneruskan strategi inovatif melalui pelaksanaan strategi digital, pengenalan penyelesaian dalam talian, peningkatan kemampuan pengedaran, kerjasama strategik dengan bank-bank Islam terkemuka selain inisiatif kesedaran jenama.
“Sebagai perintis untuk mengubah perniagaan insurans dan takaful di Malaysia, kami akan maju ke tahap strategi digital seterusnya dengan mengguna pakai kecerdasan buatan, analisis data raya dan algoritma pembelajaran mesin untuk menguruskan risiko dan peluang dalam bidang pemasaran, penjanajaminan, khidmat pelanggan serta pemprosesan tuntutan, ” katanya.
STMK berkata, kesan daripada pandemik Covid-19 dan impak ekonomi berkaitan memberi cabaran besar dan menimbulkan banyak ketidaktentuan, justeru ia bersedia menghadapi pasaran dan landskap operasi pasca Perintah Kawalan Pergerakan yang amat berbeza.
Ini memandangkan kebimbangan terhadap jaminan pekerjaan terus meningkat dan pengguna akan lebih berhati-hati dalam berbelanja, menurutnya. – Bernama