LIMBANG: Gabungan Parti Sarawak (GPS) ditubuhkan supaya tidak lagi terikat dengan kemelut politik yang sentiasa bergelora di Semenanjung.
Timbalan Pengerusi GPS, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata malah kedudukan GPS yang terasing daripada parti politik di seberang Laut China Selatan itu juga menjadikan gabungan empat parti politik tempatan itu tidak terikat dengan isu politik dimainkan di sana.
Selain itu kata Timbalan Premier Sarawak, peristiwa pahit dibawah naungan Pakatan Harapan (PH) ketika memerintah selama 22 bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018, turut dijadikan iktibar.
“Itu sebab kita tubuhkan GPS (pada 2018) supaya tidak lagi terikat dengan kemelut politik di Semenanjung, dan tidak terikat dengan isu politik dimainkan mereka.
“Banyak janji yang ditabur pembangkang terutama ketika memerintah selama 22 bulan itu. Lebih menyedihkan banyak projek besar dibatal atau ditangguhkan di bawah pentadbiran kerajaan PH sehingga menjejaskan usaha membangunkan negeri ini.
“Projek itu termasuk membatalkan pembinaan jambatan selain infrastruktur lain seperti sekolah dan jalan raya. Malah, PH turut melengahkan pembinaan banyak projek lain.
“Oleh itu pengalaman kerajaan PH memerintah negara 22 bulan perlu dijadikan pengajaran dan iktibar agar rakyat Sarawak tidak terpengaruh dengan segala janji pilihan yang dimainkan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Batu Biah, Limbang hari ini.
Turut sama ialah calon GPS Parlimen Limbang Datuk Hasbi Habibollah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Paulus Palu Gumbang.
Awang Tengah berkata masih banyak lagi yang perlu diperjuangkan termasuk hak Sarawak yang terhakis seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan memastikan suara ‘anak Sarawak’ kuat di Parlimen melalui kemenangan besar pada PRU-15) ini.
Oleh ADENG EDRUS