SIBU: Universiti milik kerajaan Sarawak mempunyai kelebihan kerana pemohonan pelajar tidak perlu tertakluk kepada Unit Pusat Universiti (UPU) Kementerian Pengajian Tinggi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sebelum ini pelajar perlu memohon melalui UPU di Putrajaya menyebabkan permohonan pelajar tidak menentu berikutan persaingan yang sengit.
“Dulu tak ada universiti kita, kita terpaksa memohon melalui UPU, kadang-kadang dapat, kadang-kadang tidak dapat disebabkan persaingan yang amat kuat.
“Dapat pun kadang-kadang tidak dapat pergi sebab kos tinggi. Naik kapal terbang, keduanya kalau diberi tawaran pun kursusnya bukan yang kita minat, inilah yang berlaku.
“Kami memberi peluang kepada anak muda Sarawak dan pelajar lain untuk belajar di universiti kami tanpa perlu memohon melalui UPU.
“Dermasiswa dan bantuan lain adalah percubaan kepada kami dan disebabkan bilangan pelajar yang banyak melabur di universiti, hasilnya tidak akan ketara tetapi tidak ketara. Dengan itu, negeri akan terus untung,” katanya pada perjumpaan bersama Penerima Biasiswa Kerajaan Sarawak, di sini petang tadi.
Terdahulu Naib Canselor Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Profesor Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid berkata, UTS mendapat manfaat daripada kira-kira RM20 juta dana dari kerajaan Sarawak di bawah kepemimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) selepas hampir setahun menjadi universiti penuh.
Katanya, dana itu diperuntukkan melalui Skim Dermasiswa UTS untuk rakyat Sarawak dalam kumpulan B40 dan kumpulan M40 belajar di universiti serta biasiswa Yayasan UTS untuk semua pelajar.
“Kalau kita nilaikan dari segi wang, pengurangan yuran pendaftaran daripada RM1,000 kepada RM500, dengan 1674 pelajar baharu kita ambil, jadi kerajaan negeri sudah menyumbang RM837,000.
“Sementara itu, bagi yuran asas program Sastera dan Sains, seramai 930 orang yang tidak perlu membayar yuran pengajian tidak kira dari mana mereka berasal sama ada Sabah, Sarawak atau Semenanjung, kerajaan telah menyumbang sebanyak RM9.3 juta.
“Untuk sarjana muda, sarjana, dan Ph.D (doktor falsafah), program kami memberi pengurangan tuisyen sebanyak 50 peratus dan kami telah berjaya memberikan biasiswa bernilai RM5.5 juta.
“Jadi, jika disatukan, dengan biasiswa yang kita sebutkan tadi, kerajaan Sarawak menyumbang hampir RM20 juta kepada pelajar UTS,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa bilangan kemasukan ke UTS meningkat secara drastik melalui inisiatif yang diberikan oleh kerajaan Sarawak.
Seramai 23 pelajar UTS menerima bantuan biasiswa termasuk Skim Biasiswa Pinjaman Pendidikan Dalam Negeri (16 pelajar), Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Sarawak (enam pelajar) dan Yayasan Biasiswa Tunku Abdul Rahman Sarawak (seorang).
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee.
Oleh AKUN GIMAN