SIBU: Geran Tahunan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) dijangka akan meningkat pada 2023, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurut Premier Sarawak, beliau akan mengumumkan perkara itu dengan lebih lanjut pada pembentangan Bajet Sarawak 2023 apabila sidang Dewan Undangan Negeri diadakan mulai 21 November nanti.
“Dari 2018 hingga kini, pendapatan tahunan kita hanya sekitar RM10 bilion sahaja. Sebab itu, bajet tahunan kita hanya RM10 bilion. Bagaimanapun, dengan izin Tuhan, hasil tahunan kita adalah yang paling tinggi dalam sejarah Sarawak pada tahun ini.
“Saya tidak boleh mendedahkannya sekarang (perolehan), tetapi saya boleh katakan angkanya adalah dua digit…. bilion ringgit.
“Kalau itu berlaku, kita ‘share lah’ (kongsi), kamu mahu peruntukan dinaikkan pada 2023, kita naikkanlah. Jadi, saya akan naikkan peruntukan untuk UNIFOR pada 2023,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi UNIFOR Bahagian Sibu, di sini hari ini.
Abang Johari berkata, ini adalah berkat dasar kerajaan Sarawak yang sentiasa menghulurkan peruntukan untuk rakyat tanpa mengira latar belakang agama dan kaum.
“Dengan ada UNIFOR di bawah pentadbiran timbalan saya iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan juga kerjasama daripada pemimpin agama, memudahkan kerajaan Sarawak untuk menyalurkan bantuan yang dikehendaki.
“Bila saya pergi ke kawasan luar bandar, saya lihat banyak rumah ibadat yang dalam keadaan tidak baik. Jadi, sebab itu kita mempunyai pendekatan tersusun dalam membantu agama-agama yang ada di Sarawak.
“Kerana inilah prinsip kita, apabila sekali kita berbuat baik, Tuhan akan membalasnya lebih banyak, ” katanya.
Sementara itu Uggah dalam ucapan aluannya berkata, sejak ditubuhkan Mei 2017 lalu, UNIFOR telah menerima keseluruhan geran berjumlah RM255 juta.
Katanya, pemberian geran ini melibatkan tiga bentuk iaitu Kumpulan Wang Bantuan Pembangunan Khas (SDAF) di mana pada 2017 UNIFOR menerima RM15 juta, 2018 (RM 20 juta), 2019 (RM 30 juta), 2020 (RM 50 juta), 2021 (RM50 juta), 2022 (RM 50 juta) dan jumlah keseluruhan RM215 juta.
“Untuk ‘Mission School’ 2021 (RM15 juta), 2022 (RM15 juta), dan jumlah keseluruhan RM30 juta. Bantuan Operasi COVID-19 2021(RM5 juta) dan 2022 (RM5 juta) jumlah keseluruhan RM10 juta.
“Ini adalah sesuatu yang sangat bermakna dan unik kerana Sarawak adalah satu-satunya negeri di Malaysia yang mempunyai inisiatif ini,” katanya.
Oleh AKUN GIMAN