SELANGAU: Kerajaan Persekutuan yang kukuh dan stabil perlu dibentuk dengan kerjasama empat parti dari Sarawak yang membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Kerajaan Persekutuan pasti tidak mampu berdiri sendiri tanpa sokongan daripada GPS.
“Apabila kerajaan stabil dibentuk, kita boleh memberi tumpuan untuk tingkatkan ekonomi kita.
“Kita sudah tidak mempunyai banyak masa untuk berfikir, buatlah keputusan tepat untuk kita memastikan kerjaaan yang dibentuk (dengan kerjasama GPS) adalah kerajaan yang mampu menjaga kepentingan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak, Seksyen Selangau dan Penyerahan PerantiSiswa di sini, hari ini.
Turut hadir, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Menteri Kanan Kerja Raya, Dato Sri Fadillah Yusof dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.
Khamis lalu, Ismail Sabri menyatakan bahawa Barisan Nasional (BN) yakin dapat memenangi 112 kerusi untuk membentuk kerajaan majoriti mudah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
GPS adalah gabungan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP)
Ismail Sabri berkata, walaupun GPS tidak bersama BN, kedua-duanya mempunyai sejarah hubungan yang panjang.
“Kita memahami antara satu sama lain, kita memahami aspirasi rakyat Sarawak. Kita lebih memahami hubungan, yang walaupun kita berbeza sekarang ini tetapi kita masih bersama,” katanya.
Beliau berkata Ahli Parlimen GPS telah menunjukkan kesediaan mereka untuk tetap bersama dengan Ahli Parlimen BN sewaktu menjadi pembangkang selepas PRU-14 dan menyertai kerajaan yang dibentuk BN pada 2020.
“Waktu saya menjadi ketua pembangkang, GPS bersama kita. Dia tak sertai kerajaan PH (Pakatan Harapan) semasa itu. Maknanya kita tetap bersama. Bila kita bentuk kerajaan yang baru, GPS juga bersama kita, pastinya hubungan itu akan diteruskan,” katanya.
Menyentuh kenyataannya sebelum ini berhubung keyakinan untuk BN memenangi PRU-15, Ismail Sabri berkata biarpun kemenangan itu nanti hanya berdasarkan majoriti mudah namun kerajaan akan tetap stabil ekoran penguatkuasaan undang-undang lompat parti.
“Beza sekarang dengan dulu, kalau dulu majoriti mudah itu amat membahayakan kerana masih boleh lompat parti. Sekarang ini dengan akta lompat parti, selepas menang tak ada siapa pun boleh lompat parti. Kalau lompat, dia kena kosongkan kerusi dan masuk pertandingan semula,” katanya.
Ismail Sabri turut memberi jaminan, jika beliau dipilih semula sebagai Perdana Menteri selepas PRU-15 Sabtu ini, fokus Kerajaan Persekutuan terhadap pembangunan Sarawak akan terus menjadi keutamaan.