KUCHING: Jenazah tiga mangsa kebakaran di Kampung Gita malam tadi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang di sini sebentar tadi.
Jenazah ketiga-tiganya yang sebelum itu disembahyangkan di Masjid At-Taqwa Kampung Gita, dikebumikan dalam satu liang lahad.
Mereka yang terkorban ialah pesara Datu Affandi Keli, 69, anaknya Aneeqa Affandi, 35, dan anak saudara berusia 22 tahun, Nor Hasyidah Ajis.
Hadir sama Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi dan isteri.
Malam tadi, Pengarah Bomba Sarawak Datu Khirudin Drahman berkata, ketiga-tiga mangsa dipercayai meninggal dunia akibat terhidu asap.
“Hanya mangsa lelaki ditemui dengan sedikit kesan melecur di lengannya – berkemungkinan besar disebabkan serpihan api.
“Punca sebenar kematian masih perlu disahkan oleh Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak (SGH),” katanya kepada pemberita di lokasi kebakaran iaitu Lorong Bunga Tongkeng Kampung Gita.
Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam satu kenyataan malam tadi menyatakan pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 7.03 malam.
Ia menyatakan sejurus api berjaya dikawal, anggota bomba memasuki rumah berkenaan kira-kira 8.30 malam dengan menaiki tangga ke tingkat dua dan menemui salah seorang maut di dalam sebuah bilik pada 8.40 malam.
Pencarian seterusnya membawa kepada penemuan dua lagi mangsa di tingkat atas rumah.