KUCHING: Seramai 703 pegawai, anggota dan rekrut digerakkan ke seluruh Sarawak bagi penugasan menjelang hari mengundi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Komandan Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuching SAC Razali Mohamad berkata, petugas yang terdiri daripada seorang pegawai kanan, 271 pegawai rendah dan selebihnya adalah rekrut itu, akan mula digerakkan ke kawasan penugasan masing-masing Rabu ini.
“Pada 4 November lepas, 28 pegawai dan tiga anggota unit pemusnah bom Pulapol Kuching telah bergerak dan melapor diri di daerah penugasan masing-masing,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Beliau berkata sebelum penugasan, setiap petugas terutama pelatih, diberi latihan sebagai persediaan bagi tujuan melaksanakan tanggungjawab dan beliau yakin latihan itu dapat membantu melancarkan tugasan mereka di lapangan. – Bernama