KUCHING: Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Dato Sri Fadillah Yusuf menyokong jika 18 November ini diisytiharkan sebagai cuti umum khas di Sarawak bagi membolehkan pengundi balik mengundi.
Bagaimanapun katanya, terpulang kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk mempertimbangkan keputusan itu.
“Saya menyokong kerana ia merupakan satu kemudahan terutama untuk mereka yang perlu balik ke kawasan yang jauh untuk mengundi. Sekurang-kurangnya beri mereka cuti setengah hari untuk mereka bergerak balik ke kawasan mengundi.
“Ini bergantung kepada keputusan Premier (Abang Johari) untuk mempertimbangkan keputusan ini. Ada kesan sampingan juga kepada industri yang memberi perkhidmatan untuk rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian gelanggang futsal di Dewan Serbaguna Taman Malihah di sini, hari ini.
Di Lingga semalam, Abang Johari berkata kerajaan Sarawak masih mempertimbangkan sama ada mahu mengisytiharkan 18 November ini sebagai cuti umum bagi membolehkan mengundi balik dan mengundi sehari kemudian iaitu Sabtu 19 November.
Bagaimanapun kata Pengerusi GPS itu, mengisytiharkan cuti bermakna ia perlu diwartakan dan kesannya nanti bukan sahaja boleh menaikkan kos gaji pekerja malah menyebabkan berlakunya penurunan produktiviti dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini.