KANOWIT: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen Kanowit, Datuk Aaron Ago Dagang memperhebatkan kempen menjelang hari pengundian pada 19 November ini.
Beliau dan jentera parti GPS menyantuni Rumah Merebai, Nanga Bat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngemah pada sebelah pagi semalam, disusuli lawatan ke Rumah Edmund Kalai di Nanga Melipis dalam kawasan DUN Machan pada sebelah petang.
Ketika berucap di kedua-dua rumah panjang itu, beliau meminta penduduk di situ memberi sokongan penuh kepadanya supaya pembangunan yang telah dirancang di kawasan itu dapat berjalan lancar.
“Kita di Kanowit masih memerlukan banyak lagi pembangunan infrastruktur, sekolah, kesihatan dan pertanian bersepadu untuk menaikkan taraf sosialekonomi selaras dengan PCDS 2030 yang diilhamkan oleh Premier, Sarawak,” katanya seperti dilaporkan UKAS.
Dalam lawatan ke Rumah Merebai, beliau ditemani Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana.
Lawatan ke Rumah Edmund Kalai turut disertai calon GPS Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Anyi, ADUN Machan Allan Siden Geramong dan Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Maurice Joannes Giri.
Alexander turut meminta agar penduduk tempatan memberi sokongan padu kepada Aaron supaya pembangunan di kawasan DUN Ngemah dan DUN Machan dapat diselaraskan. (Gambar UKAS).