MATU: Pengundi khususnya golongan muda mesti membuat pilihan tepat semasa menunaikan tanggungjawab pada 19 November ini.
Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerusi Parlimen P.207 Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, ini kerana Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini amat penting buat rakyat Sarawak kerana ia menentukan hala tuju negeri dan rakyat untuk tempoh lima tahun akan datang.
Katanya, tugas rakyat pada 19 November nanti bukan perkara biasa atau dipandang remeh sebaliknya meletakkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai pilihan utama dan tepat demi kesejahteraan dan kemakmuran negeri ini.
“Sekali lagi saya mengingatkan anda (pengundi) agar memilih GPS pada 19 November ini demi masa depan kita bersama.
“Anda semua tahu, memilih kerajaan bukan seperti kita menukar baju atau kasut. Jika kita salah beli, akhirnya kita yang rugi.
“Begitu juga dengan mengundi. Semai dalam sanubari kita dengan memilih GPS kerana itu pilihan tepat,” katanya
Beliau berkata demikian semasa mengadakan program ziarah rakyat di beberapa kampung sekitar Igan hari ini.
Ahmad Johnie yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) turut menjelaskan kepada rakyat kenapa mesti memilih GPS pada pilihan raya ini.
Katanya, GPS merupakan parti gabungan anak Sarawak yang memperjuangkan hak dan keistimewaan Sarawak.
Katanya. parti dari luar tidak tahu aspirasi anak-anak tempatan, justeru golongan muda diingatkan tidak terpengaruh propaganda pihak tertentu yang mahu merosakkan perpaduan dan keharmonian negeri ini.