KOTA SAMARAHAN – Pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Samarahan adalah kunci penyelesaian kepada masalah kesesakan pelajar di kawasan ini.
Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata sekolah baharu itu bakal menyuraikan jumlah pelajar yang sudah padat di dua sekolah sedia ada.
“Saya sudah lama berazam dan berusaha untuk menyelesaikan masalah kesesakan pelajar di SMK Muara Tuang dan SMK Kota Samarahan yang menjadi keluhan ibubapa selama ini.
“Alhamdulillah, projek SMK Sri Samarahan ini sudahpun diluluskan pada 2018 dan proses pembinaan sudahpun bermula,” katanya ketika ditemui semasa melawat tapak pembinaan SMK Sri Samarahan di sini, hari ini.
Beliau berkata, sekolah itu bakal menempatkan seramai 1,500 orang pelajar dari kawasan Desa Ilmu dan kawasan perkampungan meliputi Kampung Meranek sehingga Kampung Mata Parang.
Rubiah berkata, sekolah yang diusahakannya sejak 2016 itu bukan sahaja memberi manfaat dan keselesaan kepada pelajar, malah kepada ibubapa.
“Sekolah yang menelan belanja RM53.7 juta ini terletak berhampiran Kampung Meranek dan Kampung Empila dan bakal mempunyai 47 bilik kelas.
“Ibubapa di kawasan ini tidak perlu lagi rungsing untuk menghantar anak-anak mereka ke asrama kerana sekolah ini lebih dekat dan selesa,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai SMK Muara Tuang, Rubiah berkata sejumlah RM72 juta telah diperuntukkan untuk projek gantian penuh sekolah ini.
“Projek yang dijangka akan bermula pada hujung tahun ini bertujuan untuk membina semula atau menggantikan bangunan sekolah ini yang sudah lama dan uzur.
“Ini bagi memastikan pelajar dan guru di sekolah ini dapat menjalankan sesi pembelajaran dalam keadaan yang lebih selamat dan selesa”, katanya.
Dalam perkembangan lain, Rubiah turut menyatakan bahawa pembinaan SK Pengkalan Kuap yang menelan belanja RM33 juta sudah siap sepenuhnya dan bakal beroperasi pada tahun depan.