NIAH : Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni gembira dengan berita orang kuat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tanjung Belipat di sini menyertai GPS.
Lukanisman berkata, beliau dimaklumkan oleh Datuk Rosey Yunus bahawa orang kuat PKR, Noraya Jost kembali menyokong GPS kerana menyedari hanya gabungan itu berupaya membela nasib rakyat.
“Penyertaan ini bukan satu gimik tetapi keikhlasan Noraya dalam berkempem bersama GPS, memandangkan ketika ini momentum kempoen GPS berjalan lancar dan baik.
“Kempen yang berbaki lapan hari, saya percaya dan yakin lebih ramai lagi penyokong PKR menyertai GPS,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak di Rumah Selan Undau Sebatu Niat, dekat sini.
Katanya, mana-mana parti yang ingin memberi sokongan kepada GPS adalah sentiasa dialu-alukan.
“Sokongan mereka akan dapat kita terjemahkan kepada perkhidmatan yang terbaik sekiranya GPS diberi peluang untuk saya menjadi Ahli Parlimen Sibuti,” katanya.