KUCHING: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen Petra Jaya, Dato Sri Fadillah Yusof percaya mampu meraih undi daripada kalangan pengundi muda pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), 19 November ini.
Katanya, setakat tujuh hari berkempen ini semua keterlibatan atau interaksi dengan pengundi muda di kawasan Petra Jaya mendapati pandangan positif golongan terbabit sama ada melalui media sosial mahupun secara bersemuka.
“Nampaknya mereka sangat mesra dengan GPS. Mereka juga memahami, merasai dan mengetahui perancangan negeri khususnya di peringkat Sarawak.
“…Dan mereka (belia) menyedari perancangan kerajaan Sarawak bakal memberi manfaat dan bukan perancangan semata-mata,”katanya ketika program FY Minum Pagi bersama Belia-Beliawanis Tupong di Rends Burger, Metrocity, pagi tadi.
Mengulas mengenai strategi dalam membangunkan golongan belia di kawasan Petra Jaya, Fadillah berkata pihaknya perlu melahirkan sumber manusia yang berilmu serta berkemahiran.
“Pentingnya penguasaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam melahirkan sumber manusia yang berilmu dan berkemahiran.
“Bukan sahaja dalam konteks pekerjaan sebagai pekerja mahir, malah dalam bidang perniagaan, pembangunan, penghasilan produk dan sistem baharu untuk memenuhi kehendak Sarawak itu sendiri,” katanya.
Oleh AZREEN KERIA