KUCHING: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin mengakui hati nuraninya jelas mahu menyertai gabungan itu sebelum ini.
Beliau berkata keputusannya itu berpunca daripada keinginannya untuk berkhidmat secara berkesan kepada rakyat di kawasan majoriti kaum Bidayuh itu.
“Ia disebabkan hasrat murni saya untuk berkhidmat kepada rakyat dengan lebih cekap. Saya telah berada di kedua-dua belah jurang politik. GPS terbukti mampu menyampaikan apa yang dijanjikan.
“Jadi, anda boleh ambil perhatian daripada saya bahawa kita mesti menyokong dan memastikan GPS memenangi kerusi ini untuk masa depan yang lebih baik bagi rakyat,” katanya pada majlis pelancaran rasmi Jentera Pilihan Raya GPS Puncak Borneo di Dewan Masyarakat Kampung Sinjok di Siburan dekat sini.
Kira-kira 500 pemimpin dan penyokong GPS dari Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Tarat, Mambong dan Serumbu menghadiri majlis itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat yang juga Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Roland Sagah Wee Inn merasmikan pelancaran itu.
Turut hadir, ADUN Mambong yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Dr Jerip Susil dan Ketua Pemuda GPS merangkap ADUN Serumbu Miro Simuh.
Oleh Mohd Neenatul Aizal