KUCHING: Di sebalik penafiannya ‘mungkir janji’ kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS), Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin masih juga menempatkan calonnya untuk bertanding di Sarawak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
Timbalan Pengerusi GPS, Datuk Awang Tengah Ali Hassan berkata, hakikatnya bekas Perdana Menteri itu bersetuiu untuk Sarawak menggunakan ‘platform’ sendiri melalui gabungan empat parti dalam GPS.
“Sama ada dia (Muhyiddin) menafikan ataupun tidak, dia tetap letak calon di sini (Sarawak). Kita lawanlah… itu terpulang pada rakyat kita.
“Itu cakap dialah, sebenarnya dia (Muhyiddin) bersetuju untuk Sarawak menggunakan platform kita sendiri.
“Dan itu yang dipersetujui dalam mesyuarat yang diadakan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang media Pameran Sarawak 2022 di Hotel Hilton di sini petang ini.
PN pimpinan Muhyiddin merangkumi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), PAS, GERAKAN, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).
PN melalui BERSATU meletakkan tiga calon itu Datuk Ali Biju (Saratok), Jugah Muyang (Lubok Antu), kedua-duanya penyandang kerusi Parlimen berkenaan dan Duke Janteng di Parlimen Bintulu. Seorang lagi calon PH tetapi daripada PAS, Hamdan Sani bertanding di Batang Lupar.
Semalam, sebuah portal berita berpangkalan di Kuala Lumpur melaporkan penafian Muhyiddin ‘mungkir janji’ dan mendakwa hanya wujud persetujuan bahawa BERSATU tidak akan bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini, bukan pilihan raya membabitkan kerusi Parlimen.
Untuk rekod, keabsahan Muhyddin sebagai Perdana Menteri ke-8 pada Februari 2020 hanya menjadi kenyataan apabila 19 Ahli Parlimen GPS membuat pendirian menyokongnya, sekali gus membolehkan PN membentuk kerajaan minoriti.
Oleh AZREEN KERIA