KUCHING: Pertambahan jumlah pengundi baharu di Parlimen Santubong menjadi cabaran utama Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam usaha mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), 19 November nanti.
Calon GPS Parlimen Santubong, Dato Sri Nancy Shukri berkata, apa yang diharapkan jentera GPS-Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan mengambil inisiatif untuk turun padang.
Ini katanya, untuk mendekati pengundi baharu berusia 18 hingga 28 tahun supaya mereka keluar mengundi bagi menjalankan tanggungjawab mereka pada 19 November nanti.
“Jentera GPS di Parlimen Santubong mesti meyakinkan pengundi baharu ini melaksanakan tanggungjawab mereka.
“Saya mengharapkan kita dapat mencari pengundi-pengundi yang selama ini kita tidak nampak kerana mereka belum daftar tapi pada kali ini mereka sudah berdaftar (secara automatik) kerana jumlahnya ramai iaitu 17,000 orang,” katanya berucap pada program Gerak Gempur Jentera PRU15 GPS-PBB N.4 Pantai Damai di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, Nancy turut mengingatkan penduduk di Parlimen Santubong supaya tidak terpedaya dengan taktik pembangkang yang senantiasa mempersoalkan usaha kerajaan untuk rakyat.
“Usaha dan insiatif yang telah dilakukan oleh kerajaan GPS jelas terbukti banyak membantu rakyat di setiap pelosok negeri ini, sekali gus membuktikan khidmat GPS yang cemerlang dalam membantu rakyat.
“Saya percaya rakyat di kawasan Parlimen Santubong terutamanya, tidak mudah terpengaruh dan boleh berfikir dengan matang serta boleh menepis isu yang dibangkitkan oleh pembangkang,” katanya.
Pada PRU-15 ini, Nancy berdepan dua calon lain iaitu Mohamad Zen Peli (PH-Amanah) dan Affendi Jeman (Bebas) bagi kerusi Santubong yang mempunyai seramai 79,540 pengundi berdaftar.
Oleh NUR AIN OTSMAN