LAWAS: Utara Sarawak khususnya daerah Limbang dan Lawas tidak lagi terasing sebaliknya terjalin kukuh dengan tanah besar Sarawak.
Jalinan ini bukan sahaja dari aspek fizikal malah meliputi aspek kemajuan yang berterusan dari Selatan hingga ke Utara negeri ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ledakan teknologi yang digerakkan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) turut memberi kesan kepada momentum pembangunan keseluruhan negeri ini.
Malah katanya, dengan penubuhan Agensi Pembangunan Utara Sarawak (NRDA) bersama peruntukan RM1.5 pbillion disediaskan, memberi impak untuk membangunkan pelbagai kemudahan.
“Usaha membangunkan seluruh Sarawak ini dilakukan dengan semangat satu keluarga besar Sarawak,” katanya pada Program Sarawakku Sayang di Kampung Long Tuma Lawas di sini hari ini.
Malah katanya, projek pembinaan lapangan terbang Lawas bernilai RM600 juta kini dalam peringkat awal pelaksanaan yang menggunakan dana kerajaan Sarawak sendiri.
Beliau berkata berkata, sebaik siap, kerajaan Sarawak mahu bayaran balik dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan melalui kaedah yang sewajarnya.
Abang Johari turut memberitahu mengenai pelbagai inisiatif kerajaan Sarawak menjadi peneraju dalam tenaga berasaskan karbon, hidrogen dan bio diesel daripada alga (lumut) di Bintulu.
“Melihat kepada perkembangan memberansangkan ekonomi Sarawak maka ini memberi kemampuan kepada Sarawak untuk terus merancang lebih banyak pembangunan dan kemudahan untuk rakyat di seluruh pelosok negeri ini.
“Nanti saya akan umum jumlah pendapatan negeri yang bernilai dua angka dan juga akta antilompat parti pada sidang Dewan Undangan Negeri,” katanya.
Premier Sarawak itu turut yakin Lawas akan menjadi hab ekonomi utama di Teluk Brunei dan merancang pembinaan pelabuhan laut dalam Lawas di Pulau Sari.
Seterusnya Abang Johari mahu melihat perpaduan dan kehidupan harmoni rakyat Sarawak dan generasi hibrid iaitu generasi hasil perkahwinan campur akan terus bersatu bersama GPS memajukan Sarawak.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Menteri Pengangkutan Dato Henry Sum Agong yang juga calon GPS untuk kerusi Parliman Lawas.
Yang lain ialah Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Asfia Awang Nassar, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Pemantauan Buruh, Imigresen dan Projek) Datuk Gerawat Gala dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel.
Oleh ADENG EDRUS