ALEXANDRA LORNA
KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memutuskan musik kafe, kelab malam dan bistro tidak dibenarkan beroperasi di Sarawak.
Pengerusi JPBN merangkap Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata larangan itu dijelaskan semula kerana terdapat salah faham di kalangan masyarakat, dengan Bistro dilihat sebagai sebuah restoran.
“Dan hari ini, kita memutuskan mana-mana Bistro tidak dibenarkan beroperasi.
“Kita berharap semua pihak yang telah beroperasi semula dalam bidang ekonomi untuk mengikut garis panduan (SOP) yang telah ditentukan,” katanya pada sidang media laporan harian Covid-19 di sini semalam.
Beliau menambah penting untuk semua orang mengamalkan penjarakan sosial dan menjaga kebersihan diri agar kes virus Covid-19 tidak merebak.
“Tiindakan berupa amaran dan penutupan premis akan dikenakan kepada pemilik kedai, syarikat dan pasar raya yang tidak mematuhi SOP yang ditetapkan,” tegas beliau.
Terdahulu, beliau memberitahu sebanyak 3,790 permohonan pergerakan antara daerah telah diterima di 28 Ibu Pejabat Daerah PDRM seluruh Sarawak menjadikan jumlah kumulatif 30,782 permohonan, semalam.
“Daripada jumlah kumulatif tersebut, sebanyak 28,627 telah diluluskan dan 2,155 ditolak.
“Pasukan pemantau semalam telah memantau sebanyak 2,005 lokasi iaitu pasar raya (275), restoran ( 516), kilang (42), bank (171), pejabat kerajaan (75), penjaja (97), pasar tani/awam (110), tempat ibadah (100), tempat riadah (57), tapakpPembinaan (32) dan lain-lain (530).
“Sehingga semalam sebanyak 28,539 pemberitahuan sektor ekonomi yang telah dibuka diterima,” katanya.
Beliau berkata daripada jumlah tersebut, 20,519 adalah melalui atas talian dan 8,020 melalui email.