KUCHING: “Dah malas ambil tahu berita (politik) di Semenanjung kerana kebanyakan mereka hanya bergaduh bagi menunjukkan siapa lebih baik.”
Itu kata Dato Sri Nancy Shukri yang bersyukur rakyat Sarawak mengendalikan kempen secara aman dan damai tanpa perbalahan yang teruk seperti apa yang berlaku di seberang Laut China Selatan
“Kita di Sarawak seharusnya bersyukur kerana kepemimpinan sudah cukup baik, cuma apa yang kita mahukan ialah untuk bergerak ke hadapan,” kata calon kerusi Parlimen Santubong bagi mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.4 Pantai Damai di Waterfront Hotel, di sini petang ini.
Nancy berkata pada masa ini fokus GPS adalah berkaitan tuntutan hak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan apa yang perlu dilakukan.
“Saya percaya Insya-Allah kita akan dapat melihat kesan daripada tuntutan kerajaan Sarawak di peringkat persekutuan akan dapat diumumkan oleh Premier Sarawak pada sidang Dewan Undangan Negeri selepas Pilihanraya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.
“Dari situ kita boleh melihat apakah pencapaian yang telah diperoleh Sarawak dari sudut ekonomi bila kita telah menuntut hak-hak Sarawak dengan aktif sekali. Jadi hasil daripadaia itu, yang untung adalah rakyat Sarawak,”katanya.
Terdahulu, Pengarah Operasi Jentera Pilihanraya GPS-PBB Santubong, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi menasihati agar ketua masyarakat dan ketua kaum memainkan peranan untuk membawa seramai mungkin pengundi di kawasan masing-masing supaya turun mengundi pada 19 November nanti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai itu berkata, ia antara fokus yabg diberi tumpuan menjelang hari mengundi nanti.
Menurutnya, ia adalah masa (PRU) untuk pemimpin masyarakat mengembling tenaga untuk membawa adik beradik, keluarga, sahabat dan seluruh masyarakat untuk turun mengundi.