KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) mengadakan pertandingan mencipta poster yang bertemakan ‘Bandar Mesra Kanak-kanak’ yang bermula dari 5 November lalu sempena Hari Kanak-kanak Sedunia yang disambut pada 20 November setiap tahun.
Melalui kenyataan, MBKS mengalu-alukan penyertaan semua pelajar sekolah rendah di kawasan Kuching berumur dari tujuh hingga 12 tahun untuk menyertai pertandingan tersebut.
“Para peserta yang ingin menyertai pertandingan mencipta poster boleh mendapatkan borang penyertaan melalui laman web MBKS di http://mbks.sarawak.gov.my atau mendapatkan borang di lobi MBKS.
“Penyertaan adalah percuma dan tarikh tutup untuk menghantar rekaan poster serta borang penyertaan adalah pada 16 November 2022,” katanya.
Rekaan tersebut hendaklah bersaiz A4 dan direka menggunakan pensil warna, krayon atau cat air.
Juara mencipta poster bakal membawa wang tunai sebanyak RM250 beserta trofi dan sijil penyertaan, tempat kedua RM200 beserta trofi dan sijil, tempat ketiga RM150 beserta trofi dan sijil manakala penerima saguhati seramai 25 peserta akan mendapat RM30 beserta trofi dan sijil.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi MBKS di talian 082-354200 atau melalui email di request@mbks.gov.my.