KAPIT: Pencalonan semula Datuk Wilson Ugak untuk mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Rajang adalah keputusan bijak kepimpinan tertinggi Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diketuai Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon berkata, Ugak yang mewakili Parlimen Hulu Rajang sejak 2013 telah menampilkan prestasi cemerlang dengan melaksanakan pembangunan di kawasan tersebut.
Menurutnya, pemilihan Ugak seoleh-oleh menggambarkan bahawa beliau mampu membawa lebih banyak pembangunan di Hulu Rajang dalam tempoh lima tahun lagi.
“Dua penggal lepas, beliau (Ugak) sudah menunjukkan prestasi cemerlang dalam mewakili suara rakyat di Hulu Rajang.
“Sekiranya diberi mandat untuk penggal ketiga nanti, ia sudah pasti merupakan kemenangan bagi semua rakyat di kawasan parlimen ini,” katanya.
Justeru, Chukpai turut mengingatkan pengundi di kawasan Hulu Rajang agar meneruskan sokongan sekali gus dapat membela nasib rakyat di kawasan Hulu Rajang selama ini.
Dengan itu, ujarnya, semua kepimpinan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) khususnya Murum pastinya akan memberikan sokongan sepenuh terhadap calon daripada GPS itu.