BINTANGOR: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kawasan Parlimen Tanjong Manis, Ir. Yusuf Abd Wahab turun padang bertemu penduduk di Sungai Sian.
Turut hadir bersama pada Program Santai Bersama Komuniti Cina Sungai Sian ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol.
Program Kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Yusuf pada hari kedua semalam berjalan dengan lancar.
Tinjauan pemberita di Dewan Masyarakat Sungai Sian petang semalam mendapati penduduk yang terdiri daripada komuniti Cina begitu menyenangi kehadiran beliau.
Turut hadir di program ini ialah Kapitan Pat Kam Peng, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Meradong komuniti Cina Sungai Sian.
Yusuf mula berkempen sejak hari pertama melalui penyertaan dalam pelbagai aktiviti bersama penduduk di sekitar Tanjong Manis.
Beliau sering turun padang bertemu rakyat sejak menjadi ahli parlimen kawasan Tanjong Manis sepenggal lalu.
Dalam pada itu, pergerakan dan jadual kempen disusun rapi bagi membolehkan pertemuan antara Yusuf dan penduduk berjalan lancar.
Pada PRU kali ini, beliau menentang calon Parti Amanah Negara (PAN), Zainab Suhaili.