KUCHING: Manifesto Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah akujanji dan komitmen GPS untuk memastikan Sarawak terus stabil, maju dan makmur dan ini merupakan satu perjuangan
Timbalan Pengerusi GPS, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, GPS harus bergerak dengan satu hala tuju yang sama.
“Manifesto ini menumpukan kepada lima tonggak utama yang berpaksi kepada 25 teras.
“Dalam pilihan raya parlimen kali ini kita mahu kemenangan yang besar supaya suara kita di parlimen akan bertambah kuat.
“Kita akan terus memperjuangkan hak dan kepentingan kita yang terhakis baik secara sengaja mahupun tak sengaja agar ianya dikembalikan kepada sarawak,”katanya.
Beliau berucap pada majlis pelancaran manifesto GPS PRU15 di Pusat Konvensyen Borneo (BCCK) di sini, malam ini.
Katanya, dengan kemenangan yang besar, GPS juga akan terus berjuang untuk membela hak rakyat Sarawak.
“Rakyat Sarawak berhak untuk mendapatkan peruntukkan yang lebih banyak dari Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan lagi pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas seperti jalan raya, jambatan, bekalan air dan elektrik, dan sistem telekomunikasi.
“Malah, rakyat Sarawak berhak untuk mendapatkan lapangan terbang dan pelabuhan yang lebih moden, efisen dan berhak untuk mendapatkan infrastruktur pendidikan dan kesihatan yang lebih baik dan bertaraf tinggi.”
“…Dan rakyat Sarawak berhak untuk mendapatkan kemudahan perumahan yang selesa dan mampu milik, “ katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa Sarawak berhak untuk mendapatkan peruntukkan yang besar bagi menyediakan estet perindustrian dan premis peniagaan untuk membantu meningkatkan perusahaan kecil dan sederhana.
“Kita mahu mewujudkan ekosistem yang kondusif untuk pembangunan semua sektor ekonomi, termasuk sektor ekonomi hidrogen, ekonomi hijau dan ekonomi circular.
“Sehubungan itu kita juga mahu Kerajaan Persekutuan bersama-sama untuk meningkatkan aktiviti ekonomi, memperbanyakkan program untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat sekali gua membasmi kemiskinan.
“Inilah perjuangan kita, dan kita harus bekerjasama, bersatu-padu demi memastikan kejayaan yang mutlak dalam PRU ke-15 kali ini agar masa depan Sarawak akan lebih terjamin dan gemilang,” katanya.
AZREEN KERIA