ENGKILILI: Rakyat dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili tidak harus cemburu terhadap nikmat pembangunan yang bakal dan sedang dikecapi rakyat yang berada di DUN Simanggang dan DUN Batang Ai.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata DUN Simanggang dan Batang Ai menikmati arus pembangunan kerana kedua-dua kawasan itu diteraju oleh kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Semua tahu sudah banyak pembangunan dilaksana di Simanggang. Batang Ai pun hendak kita bangunkan dengan menyambung kawasan ini ke Lapangan Terbang Bebuling di Spaoh, Betong.
“Dengan ini maka kemudahan infrastruktur di Batang Ai akan kita bangunkan untuk menarik kedatangan lebih ramai pelancong dan seterusnya memajukan kawasan ini. Jika ia berlaku maka orang Engkilili jangan cemburu,” katanya berucap merasmikan Program Sarawakku Sayang dekat dekat sini hari ini.
Abang Johari berkata keadaan berbeza berlaku di kawasan DUN Engkilili memandangkan wakil rakyatnya bukan daripada GPS.
Keadaan itu katanya, menyebabkan sukar untuk kerajaan GPS merancang dan melaksana pelbagai projek pembangunan di kawasan DUN Engkilili tidak seperti di DUN Simanggang, Batang Ai, Balai Ringin dan Bukit Saban.
“Macam mana hendak bangunkan Engkilili jika sentiasa berlawan? Jika ‘sebulu’ maka senang juga hendak dirunding seperti wakil rakyat dari kawasan DUN yang teraju oleh Kerajaan GPS.
“Jangan salahkan saya jika DUN Engkilili tidak dapat dibangunkan. Justeru saya berharap agar rakyat DUN Engkilili dapat memikirkan sedalam-dalamnya perkara ini jika mereka mahu kembali mengecapi pembangunan pada masa akan datang”katanya.
Abang Johari pada majlis itu turut memperkenalkan calon GPS bagi kerusi Parlimen Lubok Antu iaitu Roy Angau Gingkoi.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan, Datuk Dr Malcom Mussen Lamoh.
Juga hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harde Hollis, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan, Timbalan Menteri Pembangunan Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Gerald Rentap Jabu.
Beliau pada majlis itu turut diberi penghormatan untuk menyampaikan replika cek peruntukan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) yang mencatat nilai keseluruhan sebanyak RM1 juta.