JULAU: Bagai buku dengan ruas!
Sekali lagi, kerusi Parlimen Julau menyaksikan pertembungan antara penyandangnya Datuk Larry Sng Wei Shien,43, dan Datuk Joseph Salang Gandum, 71, yang pernah bersaing pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) 2018 dengan keputusan memihak kepada Larry Sng.
Joseph Salang yang membuat kemunculan semula adalah Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang bertanding atas tiket Gabungan Parti Sarawak (GPS) manakala Larry Sng, Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Bagaimanapun, Parlimen Julau menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan dua lagi calon iaitu Susan George@Suhana Abdullah mewakili Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) dan calon Bebas, Elly Lawai Ngalai.
Cabaran Susan, ahli perniagaan pula tidak boleh dipandang ringan dan juga Elly sebagai seorang penduduk tempatan di Julau, mungkin mampu memberi kejutan.
Pengesahan calon itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Julau Wee Teck Min sekitar 12.30 tengah hari di Pejabat Bangunan Lama Daerah Julau.
Tiada pencalonan yang ditolak.
Elly antara calon terawal tiba di pusat penamaan calon sekitar 8.01 pagi diiringi pencadang, Munor Gan dan penyokong, Daniel Udin.
Kemudiannya diikuti Susan yang tiba sekitar 8.31 pagi sambil diiringi Dominic Chanddai.
Ini diikuti Larry Sng yang tiba sekitar 8.46 pagi bersama pencadang, George Robin dan penyokong, Baca maggie.
Joseph Salang pula tiba sekitar 8.55 pagi bersama pencadang Morris Nyanong dan penyokong Jantan Uchong.
Terdahulu, Joseph Salang bersama penyokongnya sempat berarak seluruh Pekan Julau sebelum ke pusat penamaan calon.
Sebelum ini, Joseph Salang pernah menyandang jawatan Timbalan Menteri Luar dan Timbalan Menteri Penerangan , Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan.
Bagaimanapun, selepas Pilihan Raya Umum 2013, beliau menolak tawaran untuk jawatan Timbalan Menteri.
Pada April lalu, Joseph Salang secara rasmi mengambil alih jawatan Presiden PRS berikutan kematian Tan Sri Dr James Masing pada 30 Oktober tahun lalu.
Asalnya, beliau adalah ahli Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) dan pernah menjadi Ahli Parlimen tanpa parti apabila PBDS dibubarkan pada 2004.
Beliau kemudiannya menyertai PRS sebelum Pilihan Raya Umum 2008.