SIMANGGANG: Kerusi Parlimen Batang Lupar bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Calon muka baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS) Mohamad Shafizan Kepli dicabar calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wel @ Maxwell Rojis dan Hamdan Sani dari Perikatan Nasional (PN).
Wel @ Maxwell Rojis tiba di Pusat Penamaan Calon (PPC) Pejabat Daerah Sri Aman pada 9.03 pagi, calon GPS, Mohamad Shafizan tiba pada 9.09 pagi dan Hamdan tiba sekitar 9.15 pagi.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Batang Lupar, Shariff Bujang mengumumkan penerimaan tiga calon itu.
“Saya telah menyemak kertas-kertas penamaan tersebut dan setelah selesai disemak, saya berpuas hati tiada calon yang ditolak kertas penamaannya,” katanya.
Turut hadir bagi memberi sokongan kepada calon GPS adalah Pengerusi Tetap PBB Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, bekas Ahli Parlimen Batang Lupar Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau Datuk Julaihi Narawi, ADUN Beting Maro Razaili Gapor dan ADUN Lingga Dayang Noorazah Awg Sohor.