PADAWAN: Kerusi Parlimen Puncak Borneo menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Willie Anak Mongin, Pakatan Harapan (PH) Diog Anak Dios dan calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) Iana Anak Akam pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.
Calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI), George Young Si Record menarik diri pada saat akhir.
George, yang sebelum ini diumumkan oleh Presiden ASPIRASI Lina Soo sebagai calon parti, menarik diri atas alasan menurut Lina bahawa mereka tidak bersetuju PRU-15 diadakan lebih awal dan semasa musim banjir.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Puncak Borneo, Ranum Bari membuat pengumuman pengesahan penerimaan tiga calon pada 12.20 tengah hari di Pejabat Daerah Siburan, hari ini.
Willie yang diiringi Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn sebagai pencadang dan seorang penyokong iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil tiba di pekarangan pejabat tersebut 8.45 pagi.
Turut mengiring beliau ialah, ADUN Serembu yang juga Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Miro Simuh.
Lebih 1,000 penyokong GPS dari tiga DUN iaitu Serumbu, Mambong dan Tarat hadir memberi sokongan moral kepada Willie di pusat penamaan calon di Pejabat Daerah Siburan.