KUALA LUMPUR: Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) menyerahkan sumbangan sebanyak RM1 juta untuk Tabung Musaadah Khaira Covid-19 Pusat Pungutan Zakat (PPZ)-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) bagi membantu golongan terjejas akibat Covid-19.
“Sumbangan RM1 juta tersebut merupakan sumbangan tambahan kepada Tabung Musaadah Khaira PPZ terutamanya untuk golongan asnaf dan mereka yang hilang pendapatan akibat wabak Covid-19,” kata Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Arshad Mohamed Ismail dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, pada majlis sama BPMB juga menyerahkan bayaran zakat perniagaan sebanyak RM834,000.00 sebagai bayaran zakat perniagaannya bagi tahun kewangan berakhir 2019 kepada PPZ-MAIWP.
Penerima-penerima cek bagi majlis serahan yang berlangsung di Kompleks Islam Putrajaya ialah Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff dan Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Che Mat Che Ali.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut hadir menyaksikan majlis tersebut.- Bernama